Rakyat2U Staff Intranet Rakyat4U

PUSAKA

Apakah yang dimaksudkan Harta Pusaka?

Harta dan tanggungan (hutang) yang ditinggalkan oleh seseorang apabila berlaku kematiannya dan akan diwarisi oleh waris-waris yang berhak mengikut hukum dan undang-undang yang termaktub.

Apakah Pentadbiran Pusaka?

Pentadbiran Pusaka adalah proses mengumpul , mengenal pasti dan menguruskan harta dan liabiliti/hutang piutang simati dan seterusnya mengagihkan Pusaka berkenaan kepada waris yang berhak mengikut hukum dan undang-undang yang ditetapkan.

Jenis Harta yang boleh diuruskan pusaka iaitu Harta Tak Alih dan Harta Alih.

HARTA ALIH

Contoh Harta Alih :- Wang Simpanan / Akaun Simpanan / Akaun Tetap Lembaga Tabung Haji / KWSP / Insurans / Takaful / ASB Kenderaan- Kereta, Motor Lesen –Lesen Vassel (bot) Barang Kemas Lain-lain

HARTA TAK ALIH
  • Tanah dan/atau rumah diatasnya, dan apa-apa kepentingan simati di atas tanah
  • Didaftarkan dalam geran tanah atas nama simati secara mutlak
  • Bukan hak simati, jika didaftarkan atas geran sebagai [Pemegang Amanah/Pentadbir Pusaka/Tanah TOL tidak boleh dituntut sebagai pusaka]

Apakah beza pentadbiran pusaka berwasiat dan tanpa wasiat?

HARTA PUSAKA BERWASIAT(TESTATE ESTATE)
  • Simati yang meninggalkan Harta Pusaka dengan Wasiat Terakhir yang sah dari segi undang-undang dan syarak yang mengandungi pelantikan Wasi (pihak yang akan menguruskan wasiat dan pusaka simati), cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan kepada bukan waris, pesanan terakhir, senarai harta serta waris dan sebagainya.
  • Wasiat yang melantik RTB sebagai Wasi akan bertanggungjawab menguruskan pentadbiran pusaka simati daripada peringkat awal sehingga pembahagian harta.
HARTA PUSAKA TANPA WASIAT(INTESTATE ESTATE)
  • Simati yang meninggalkan harta pusakanya tanpa wasiat dipanggil Harta Pusaka Tak Berwasiat.
  • RTB akan menguruskan pusaka simati dengan dilantik sebagai Pentadbir untuk menguruskan pentadbiran pusaka simati dengan Agensi yang berkaitan antaranya Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan seterusnya mentadbir Harta Pusaka tersebut sehingga selesai.

SIAPAKAH YANG BOLEH DILANTIK SEBAGAI PEMOHON DALAM PENTADBIRAN PUSAKA SIMATI?

Salah seorang waris yang ditetapkan oleh hukum dan undang-undang akan membuat permohonan sebagai pemohon pentadbiran pusaka simati atau jika tiada waris, sesiapa yang mempunyai kepentingan atas harta pusaka simati tersebut dibenarkan sebagai pemohon pentadbiran pusaka tersebut.

MENGAPA PERMOHONAN PENTADBIRAN PUSAKA PERLU DIBUAT SEGERA?

  1. Mengelakkan pertambahan bilangan waris yang ramai akibat daripada berlaku kematian berlapis.
  2. Memudahkan proses pembahagian pusaka dapat disegerakan
  3. Membolehkan harta pusaka dapat dimanfaat dengan segera bagi faedah dan keperluan kewangan semua waris.
  4. Mengelakkan berlakunya tanah dan harta terbiar sehingga menyebabkan tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya.
  5. Mengelakkan wang simpanan simati yang berada di mana-mana Institusi Kewangan, Koperasi, Saham, Bon daripada dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut dan akan lebih menyukarkan pentadbiran pusaka kelak.